Memperkukuh objektif negara mempelbagaikan sektor tenaga



Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohammad Hasif Matzin






BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Jun. - Majlis Penandatanganan Perjanjian bagi Joint-Venture Agreement, Land Lease Agreement dan Power Purchase Agreement bagi pelaburan, pembinaan dan pengendalian Loji Jana Kuasa Fotovoltaik Solar 30 MW (SPVPP) di Kampung Belimbing Subok berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM), petang tadi.


Hadir selaku tetamu kehormat bersama ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap di JPM dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.


Majlis dimulakan dengan penandatanganan Joint-Venture Agreement oleh Lembaga Pengarah bagi Syarikat Khazanah Satu Sdn. Bhd., Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Ahmad; Pengerusi dan Pengarah Urusan Syarikat Serikandi Oilfield Services Sdn. Bhd., Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad, dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Strategi bagi pihak Syarikat Atlantic Blue Sdn. Bhd., Liew Chee Ing. Joint-Venture Agreement adalah untuk membentuk sebuah syarikat usaha sama bernama Seri Suria Power (B) Sdn. Bhd.


Setiausaha Tetap (Tenaga) JPM, Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib menandatangani Land Lease Agreement bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam manakala Ketua Pegawai Eksekutif bagi Syarikat Seri Suria Power (B) Sdn. Bhd., Ravi Bhaskaran menandatangani bagi pihak Syarikat Seri Suria Power (B) Sdn. Bhd.


Power Purchase Agreement kemudiannya ditandatangani oleh Pemangku Pengarah Perkhidmatan Elektrik, Ahmad Ridza bin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman dan menandatangani bagi pihak Syarikat Seri Suria Power (B) Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya.


Dengan termeterainya perjanjian Power Purchase Agreement, Projek Solar Berskala 30 MW akan berlangsung selama 25 tahun.


Majlis menandatangani perjanjian-perjanjian itu disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II dan Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.


Syarikat Seri Suria Power (B) Sdn. Bhd. merupakan syarikat usaha sama di antara Khazanah Satu Sdn. Bhd. (sebuah syarikat Government-Linked Company) dan Syarikat Serikandi Oilfield Services Sdn. Bhd. dengan kerjasama rakan kongsi antarabangsa (Atlantic Blue Sdn. Bhd., anak syarikat Solarvest Holdings Berhad, Malaysia).


Projek itu dijangka akan meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), ke arah mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus jumlah kapasiti terpasang daripada tenaga yang boleh diperbaharui menjelang tahun 2035.


Penandatanganan perjanjian ini menandakan satu pencapaian penting dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui di NBD yang merupakan satu projek solar terbesar yang diterajui oleh pihak kerajaan melalui kaedah Public-Private Partnership (PPP), yang mana menekankan kemajuan NBD ke arah mempelbagaikan campuran tenaga dengan menggunakan teknologi bersih yang mempunyai sumber karbon rendah dan merupakan bukti komitmen NBD terhadap dekarbonisasi.


Terdahulu, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra dalam ucaptamanya menjelaskan bahawa pembinaan Loji Jana Kuasa Fotovoltaik Solar 30 MW ini dijangka akan bermula pada suku ketiga tahun 2025.


Setelah siap jelasnya, projek ini dijangka mampu menjana tenaga tahunan yang boleh membekalkan elektrik kepada kira-kira 23,000 buah rumah, bersamaan dengan empat kargo LNG Kelas 'A', dan menyumbang kepada pengurangan sebanyak 670,000 tan karbon dioksida (CO2) setara dalam tempoh 25 tahun.


Menurutnya, ini selaras dengan komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 20 peratus berbanding paras Sedia Ada (Business-As-Usual, BAU) menjelang tahun 2030.


Tambahnya, ia juga mengukuhkan objektif NBD untuk mempelbagaikan sumber bahan api dalam sektor tenaga dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. Beliau menambah, projek ini merupakan bukti nyata kesediaan NBD untuk menyokong projek tenaga suria berskala besar.


Close